Saturday 6 April 2024

KAMARUDIN MERANUN PENGASAS BERSAMA AIRASIA

 
Biasanya kalau cerita pasal AirAsia, mesti nama Tony Fernandes akan disebut. Tapi nama pengasas bersama AirAsia yang satu ini seaakan kurang dikenali ramai. Beliau adalah Datuk Kamarudin Meranun.

Beliau termasuk dalam senarai 50 orang terkaya di Malaysia pada 2020 menurut Forbes.
Datuk Kamarudin dilahirkan di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Gurney.

Di atas kejayaan yang cemerlang pada peringkat sekolah rendah, beliau ditawarkan ke Maktab Rendah Sains MARA, Kuantan Pahang.

Selepas menamatkan persekolahan peringkat menengah, beliau meneruskan perjuangan dalam bidang Aktuari di Institut Teknologi MARA (ITM) yang sekarang dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau berjaya menggenggam Diploma dalam Sains Aktuari dengan jayanya. Beliau terus mengembangkan ilmu pengetahuan dengan menerima Bachelor of Science in Finance pada tahun 1986.

Kemuncaknya dalam pencarian ilmu, beliau telah terbang ke Amerika untuk mendapat Master in Business Administration dari Central Michigan University pada tahun 1987.

Sebelum menyertai AirAsia, beliau bertugas di Arab-Malaysian Merchant Bank dari 1988 hingga 1993 sebagai Pengurus Portfolio, menguruskan kedua-dua institusi dan dana pelaburan pelanggan individu bernilai tinggi.

Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Innosabah Capital Management Sdn Bhd.

Beliau merupakan teman karib dan rakan niaga Tan Sri Tony Fernandes, yang sama-sama mengambil alih pengurusan AirAsia pada Disember 2001 dengan harga RM1.

Misi dua sahabat itu jelas. Mereka sama-sama mahu menubuhkan sebuah syarikat penerbangan tambang rendah sekaligus merintis tagline ‘Now Everyone Can Fly’.

Pada awal permulaan AirAsia, ramai yang beranggapan bahawa model perniagaan mereka takkan berjaya dan hanya mampu bertahan selama 3 bulan sahaja. Namun mereka berjaya membuktikan dan masih bertahan hingga ke hari ini.

Mana taknya, banyak cabaran mereka ni kena hadap. Hutang bertimbun, takde pengalaman dan lagi gila bila tragedi 9/11 baru sahaja berlaku masa AirAsia baru nak beroperasi.

Kebijaksanaan Kamarudin dan Tony Fernandes inilah membuatkan AirAsia sampai dapat anugerah satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah di dunia selama 12 tahun berturut-turut bermula dari 2009-2021, di samping pelbagai anugerah global lain.

Walaupun beliau kaya, Datuk Kamarudin juga amat dikenali dengan sifatnya yang merendah diri. Orangnya warak dan senang menghadiri majlis-majlis ilmu kerana kecintaannya terhadap agama.

Kamarudin mementingkan ilmu dan keikhlasan untuk berjaya di dalam kehidupan dan kerjaya.

Oleh: Azizul Farhan