Monday 20 November 2017

Miskin bukan satu takdir tidak boleh diubah

Rezeki itu tidak akan datang bergolek jika tidak diusahakan. Justeru, setiap orang perlu bekerja mengikut kemampuan masing-masing untuk mendapat rezeki mencukupi untuk diri sendiri dan keluarganya.

Dunia yang terbentang luas ini menyediakan rezeki yang mencukupi untuk setiap penghuninya. Allah SWT menjadikan dunia ini ladang untuk manusia mendapat nikmat di dunia dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat melalui setiap usaha yang dilakukan.    

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Sesungguhnya, rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT berada di mana-mana asalkan kita berusaha mencarinya. Mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah juga mampu menyara keluarga. 

Biarpun kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati berusaha untuk mencari keredaan Allah SWT. Apa yang penting usaha itu halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Keberkataan rezeki bukan berdasarkan banyak mana yang diperoleh.  Akan tetapi  bergantung sejauh mana ia dapat memberi kebahagiaan hidup, kesejahteraan, kedamaian, keselamatan, dijauhi daripada fitnah dan memberi kebaikan. Walaupun yang diperoleh itu sedikit, rezeki yang diberkati lebih bermakna berbanding rezeki haram yang banyak.  

Mana-mana rezeki yang diperoleh secara tidak halal seperti dengan cara menipu, rasuah, perjudian dan sebagainya tidak mendatangkan kebahagiaan kepada pemiliknya. 

Anak-anak yang dibesarkan dengan makanan dibeli menggunakan wang haram akan mendatangkan masalah kepada ibu bapa seperti perbuatan derhaka dan melakukan perkara yang mendatangkan aib kepada keluarga. 

Setiap muslim perlu bersungguh-sungguh mencari rezeki agar tidak perlu meminta-minta daripada orang lain. Allah SWT tidak akan mengubah nasib mana-mana individu atau kaum, jika diri sendiri tidak mahu berusaha mengubahnya. 

Kemiskinan bukan satu takdir, atau bala yang tidak boleh diubah. Allah SWT memerintahkan agar manusia berusaha mengubah nasib masing-masing menjadi lebih baik. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Rad ayat 11).

No comments:

Post a Comment